mujahidah solehah

mujahidah solehah
cinta ilahi... cinta sejati

Thursday, March 22, 2012

bekerjalah kerana ALLAH>>.

Dakwah tidak semudah disangka. Langkahan dalam dakwah bukan bererti karpet merah, namun ia adalah jalan berduri. Selagi khilafah Islamiyyah belum lagi tertubuh kembali, maka kerja kita masih belum selesai. Selagi ustaziatul alam belum juga tercapai, maka kerja dakwah ini perlu diteruskan dan menjadi satu kewajipan bagi umat Islam.
Alhamdulillah. Semakin ramai yang sedar dan ingin membuka mata mengenai tanggungjawab untuk membawa dakwah walaupun makin ramai juga yang mula terpesong dari akidah Islam sebenar. Inilah hakikat kita hidup di muka bumi ini, menjadi tanggungjawab seseorang insan untuk mengetuk hati insan lain yang berada dalam geloranya lautan dunia. Sabda Rasulullah SAW,
“Dari Abu Ruqoyah Tamim Ad Daari radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda : Agama adalah nasihat, kami berkata : Kepada siapa?  baginda bersabda : Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan kepada pemimpin kaum muslimin dan rakyatnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kerana agama itu nasihat, menjadi tanggungjawab kita menasihati insan disekeliling kita. Sebarkan cinta kita terhadap Islam kepada mereka, agar mereka tahu apa yang kita rasa, dan apa yang kita faham tentang indahnya Islam. Berkerjalah untuk Allah. Bukan hanya bekerja untuk diri dan orang sekeliling kita.  Bangkitnya Islam terletak pada perubahan dalam diri kita dan perubahan para pemuda kita. Sebagai mana firman Allah,
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d; ayat 11)
Di sini, saya letakkan persoalan dan juga jawapannya.
Bagaimana untuk kita bekerja kerana Allah? 
Pilihlah dari cabang mana pun selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan sunnah. Anda memilih untuk bersendiri? Atau anda memilih untuk berjemaah? Silakan. Di mana mampunya anda, terserahlah. Namun, jangan kita lupa kerja kita adalah untuk Islam. Dewasa ini, ramai penceramah bebas mahupun penulis bebas tumbuh bagai cendawan. Mereka memilih untuk bekerja secara individu. Maka, terserah kepada mereka asalkan niatnya bekerja untuk Allah.
Tidak dilupakan, banyak juga tertubuhnya pelbagai jemaah. Kepelbagaian ini bukan bererti perpecahan, namun ia bererti makin ramai umat Islam mulai mengambil sikap peduli. Di mana anda ingin bekerja untuk Islam, terpulanglah. Namun, jangan sesekali memburukkan insan lain yang juga cuba berusaha untuk membangkitkan Islam andaipun anda yakin jemaah anda lah yang paling shahih. Namun andai niat itu untuk menegur, teruskanlah. Kerana teguran itu bermanfaat untuk sesama muslim.
Andai pilihan yang dibuat itu tepat, pasti kelak khilafah Islamiyyah akan tertegak. Pada saat itu juga semua jemaah dan individu akan bersatu pada titik bangunnya Islam itu, maka betulkan niat dan bekerjalah untuk Allah. Jangan merasa rendah diri mahupun bangga diri, namun rasailah izzah pada Islam itu sendiri.
Semoga kita bekerja untuk Allah, bukan atas sebab-sebab lain. Berlarilah andai itu kita mampu, kejarlah ilmu yang ada di dunia ini untuk bekalan ke akhirat sana. Tidakkah kita merindui saat kita diizinkan untuk melihat Pencipta kita? Dan itulah sebesar-besar ganjaran untuk orang yang teguh pada jalanNya. InsyaAllah.
Dan firman Allah SWT,
“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad; ayat 7)
Yakin dan percayalah, Allah bersama dengan orang yang sanggup berkorban untuk Islam.
Oleh: Nur Akmal binti Ismail
Biro Media ISMA India

No comments:

Post a Comment