Panduan kejayaan tarbiyah
Kejayaan tarbiyah bermakna kejayaan melahirkan produk dakwah dan tarbiyah. Produk itu adalah rijal yang melaksanakan amanah ubudiyah lillahi wahdah. Rijal yang memiliki ciri-ciri mukmin, yang terlakar muwasofat imaniyah di dalam dirinya. Terdapat beberapa asas-asas bagi menjamin kejayaan tarbiyah sebagaimana yang diajarkan oleh para murobbi terdahulu di dalam catatan pengalaman mereka iaitu :
1. Quwwatul Irodah (Kemahuan dan tekad yang kuat)
Murabbi mesti memperkuat kemahuannya
dalam mentarbiyah. Kemahuan yang kuat akan menjadi kenderaan yang kuat
dalam mengelola tarbiyah. Ia tidak lekang dek panas, tidak pula lapuk
dek hujan. Ia juga menjadi motivasi bagi mutarabbinya.
Seorang mutarabbi pernah memaparkan
kekagumannya pada murabbinya. Lantaran sang murabbi sentiasa hadir
bersamanya walaupun terpaksa berjalan kaki, dalam keadaan hujan, sakit
apalagi dalam hal-hal yang ringan. Kadang-kadang kalau terpaksa tidak
dapat hadir, dia sempatkan masa untuk berbicara dengan mutarabbinya
melalui telefon, melalui sms ketika waktu pertemuannya ataupun
sesudahnya. “Subhanallah, ustadz saya selalu hadir dalam pertemuan, saya
malu kalau tidak hadir. Apatah lagi hanya kerana masalah-masalah
kecil”. Nampaknya kemahuan yang kuat menjadi traktor yang turut
mempengaruhi unsur lainnya.
Kemahuan kuat tidak juga terbatas pada
kemahuan untuk hadir semata-mata, tetapi juga tekad keras untuk menjaga
dan memelihara mutarabbinya agar mereka tidak tergelincir dalam
perjalanan dakwahnya.
Sang Murobbi perlu memiliki segala
kompetensi diri untuk terus memiliki kemahuan ini dan tekad tarbawi yang
konsisten. Semangat juang yang tinggi ini telah dicontohkan oleh para
murobbi silam yang berkerja keras untuk kemajuan dakwah dan tarbiyah.
Imam al-Banna meletakkan salah satu ciri bagi menjayakan agenda dakwah
dan tarbiyah iaitu “Irodah Qawiyah”.
Saya pernah mendengar kisah kemahuan
kuat yang ada pada diri murobbi sehingga memberikan kekaguman kepada
mutarobbinya. Ada murobbi yang sanggup menaiki motosikal pergi ke
halaqah dalam jarak perjalanan melebihi 50 KM. Ada pula murobbi yang
pergi hanya menaiki bas ke sebuah IPT hanya kerana untuk menyampaikan
taujih tarbawi. Ada murobbi yang dalam keadaan beliau sakit tetap tidak
membatalkan liqo’ dan meminta mutarobbinya hadir walaupun beliau hanya
memulakan pertemuan dengan kalimah salam sahaja. Ada murobbi yang
sanggup menghabiskan saki baki pendapatannya untuk menjayakan wasilah
tarbiyah mutarobbinya. Ada pula yang baru pulang dari perjalanan luar
negara terus hadir ke pertemuan halaqah sebelum tiba bertemu anak-anak
dan isteri.
Ada murobbi yang seusai menyampaikan
taujih, tidak ada di dalam poketnya wang sesen pun sehingga terpaksa
menelefon isterinya yang tidak bekerja meminta ongkos pulang ke rumahnya
dalam jarak lebih 200 KM. Ada murobbi yang menaiki kereta untuk
memberikan pengisian tetapi minyak sudah kehabisan dan di tangan cuma
ada RM5 sahaja. Begitu juga ada murobbi yang menghabiskan masa dan waktu
pada mutarobbinya ketika orang lain sibuk bercanda bersama keluarga
demi membina mutarobbinya. Hidupnya simple, rumahnya simple, pakaian
simple, keretanya simple, HPnya simple. Semua menambat hati mad’unya.
Begitulah kisah-kisah kemahuan kuat yang ada pada sosok gagah sang
Murobbi.
2. Al-Qudwah (Teladan)
Aktiviti ruhiyah merupakan aktiviti yang
menunjukkan keteladanan. Keteladanan menjadi cermin jernih pada amal
ruhi. Sememangnya Murabbi berada di posisi penting dalam menunjukkan
teladan praktikal ini. Dia bertindak sebagai kelasi untuk membimbing ke
arah mana jalan yang harus dilalui. Sehingga bahtera itu mendapatkan
peta perjalanannya menuju taman harapan. Teladan dalam ruhiyah,
fikriyah, ijtima’iyah, tadhiyah, amaliyah dan yang lainnya.
Rasulullah SAW. bersabda: “Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya”. (HR. Tirmidzi)
Sewajarnya seorang murabbi terkehadapan
dalam mengimplementasi nilai-nilai yang telah dia sampaikan. Sehingga ia
menjadi mesin penarik jiwa-jiwa manusia. Ia mesti memiliki aura, faktor
‘wow’ atau magnet penarik. Kewujudannya dirasai,
ketiadaannya dirindui dan pemergiannya menjadi inspirasi dan motivasi.
Dalam ‘Law of Islamic Attraction’, seorang murobbi memberikan keteladan
dari aspek masa, rasa dan jasa. Untuk meningkatkan seni magnet penarik,
maka murobbi perlu kepada PS2 iaitu prihatin, sayang dan sangka baik kepada mutarobbinya.
Keteladanan adalah faktor utama dan
kritikal di dalam menjayakan proses tarbiyah dan takween. Faktor Qudwah
menjadi daya penerimaan risalah dakwah sehingga terkamir pada sosok
tubuh baginda SAW sehingga diangkat kedudukan dan darjat di sisi Allah
melalui firmanNya yang bermaksud :
“Sesungguhnya pada diri kamu [Muhammad SAW] contoh ikutan yang terunggul..”
“Sesungguhnya pada diri kamu memiliki akhlak keteladanan yang amat tinggi..”
Syeikh Mustafa al-Mahsyur membicarakan
tajuk ini dan menjadikan ia sebagai eksistensi dakwah di dalam bukunya
“al-Qudwah ‘ala Toriq Dakwah”. Manakala Syeikh Juma’ah Amin pula
meletakkan satu kaedah di dalam dakwah “al-Qudwah Qobla ad-Dakwah”
[menunjukkan keteladanan sebelum berdakwah].
3. Isti’dadu baramiji al muwajjahah (Mempersiapkan agenda taujih)
Imam Hasan Al-Banna membuat catatan kecil pada secarik kertas. Murid-muridnya bertanya: “Untuk apa catatan itu wahai imam?”. “Saya sedang mempersiapkan bahan pertemuan nanti”, jawab Imam al-Banna.
Seorang murabbi untuk meraih
keberhasilan tarbiyahnya perlu mempersiapkan agenda liqa’ tarbawinya.
Dimulakan dengan mempersiapkan diri untuk pertemuan tersebut samada
aspek psikologi, fizikal, mental, emosi dan material. Yang paling
penting ialah dia perlu menjadikan agenda pertemuan tersebut sebagai
liqa’ tarbawinya yang penuh bermakna dan romantis. Pertemuan bermakna
bukan pada lamanya waktu pertemuan tetapi kepada isi pertemuan tersebut.
Justeru itu, murobbi perlu meningkatkan skil pengendalian liqo,
memahami tips-tips menambat hati mad’u, mengetahui tips menyegarkan
halaqoh, tips meningkatkan keyakinan diri murobbi dan pelbagai lagi
seni-seni berkaitan meromantiskan halaqoh atau liqo’ agar mutarobbi
nanti apabila seusai halaqoh keluar sebagai super mutarobbi, super da’ie
penuh inspirasi dan motivasi.
Murobbi membina mutarobbi ibarat seorang
rasul mendidik para sahabat saw. Dia membina pemimpin umat, membina
pewaris dakwah dan binaan Islam. Bayangkan para sahabat r.a dengan hanya
mendengar taujih ringkas, dalam beberapa patah perkataan, dalam
beberapa baris ayat-ayat al-Quran dari Rasulullah SAW, mereka berjaya
menawan dua pertiga dunia. Subhanallah.
4. Matanah as syakhshiyah (Peribadi Unggul)
Peribadi unggul baik secara vertikal
ataupun horizontal menjadi faktor yang ikut mempengaruhi dinamika
kelompok tarbiyah. Tarbiyah yang solid dari aspek vertikal ialah
kemampuan menjaga interaksi yang baik antara murabbi dengan mutarabbi
atau sebaliknya. Sedangkan secara horizontal adalah menjaga hubungan
antara sesama mutarabbi. Sejauh mana murobbi menanam ma’ani taat,
thiqoh, ukhuwwah serta mengembangkan potensi mutarabbi akan menjamin
sulvival tarbiyah kelompok binaannya.
Kadang-kadang masalah kecil dan
sampingan dapat merosak binaan kelompok. Akhirnya hancurlah dinamika
kelompoknya yang berakhir kepada pembubaran usrah atau terpaksa
melakukan penstrukturan semula. Fenomena ini akan melambatkan pembinaan
mutarobbi bahkan akan menggagalkan kerja-kerja takween wa taurith
generasi.
Apabila kita meneropong kepada timbulnya
permasalahan ini ia terletak kemampuan diri masing-masing dalam
memelihara kesolehan hatinya. Menjaga kebersihan hati adalah inti
permasalahannya. Apabila setiap murobbi tidak berupaya menjaga kualiti
hatinya maka ia akan memporak perandakan kekukuhan barisan manusia
yang telah dibangun.
Murabbi dalam hal ini memegang peranan
penting. Apabila terjadi gesekan antara dirinya dengan mutarabbinya, dia
mesti mampu berlaku arif dan bijak mencairkan hubungan yang kaku akibat
dari gesekan tersebut. Dia mesti mengharmonikan semula ikatan ukhuwwah
tersebut. Begitu juga, jika berlaku sesama mutarabbi, murobbi mesti
menjadi jambatan antara mereka dengan sikapnya menjadi orang tengah yang
tidak berpihak kepada mana-mana mutarobbi. Dengan perilaku dan murabbi
yang seperti itu kekuatan kelompok akan terpelihara di dunia dan di
akhirat.
“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”. (QS. Az Zukhruf: 67)
5. Taujih wa Muraqabah al murabbi (Arahan dan kawalan murabbi)
Di antara aspek tarbiyah yang
ditunggu-tunggu mutarabbi adalah cucuran taujih murabbi yang akan
mengarahkan mereka. Taujih tersebut menjadi curahan kesejukan hati.
Terutama bahan yang yang disampaikan bersifat aktual dan tepat.
Kehadiran mereka dalam pertemuan tersebut memang berharap untuk
mendapatkan taujih murabbi.
Interaksi mutarabbi dengan kehidupannya
menimbulkan karat dan noda yang perlu dibersihkan. Melalui pertemuan
tarbiyah, mereka menjadikannya sebagai sebagai wasilah untuk
meneutralkan dan menyahkan rawasib jahiliyah sekaligus meningkatkan
imunisasi dirinya. Mereka merasa gembira mendapatkan taujih tersebut.
Di kalangan mutarabbi ada yang memohon
bertukar usrah dek kerana kehambaran pertemuan. Pertemuan menjadi kering
dan hilang wibawa. Katanya “Murabbi saya super sibuk, maklumlah
banyak jawatan, jarang hadir. Kalau hadir pun hanya sekadar menunjuk
muka saja. Padahal kami berharap mendapatkan sepatah atau dua patah kata
sebagai penyejuk hati dan peransang kami”. Keluhnya.
Ada pula berkata: “Murobbi saya
selalu ke luar negara, jarang ada di Malaysia, sibuk tugasan kerja…
haloqah pun kerap tergendala dan postponed… kalau ada pun taujih email
atau sms sahaja..”
Ungkapan tersebut sebenarnya bukanlah
gugatan. Akan tetapi lebih kepada harapan dan keinginan mereka
mendapatkan nasihat penyejuk iman dari murabbi. Para sahabat r.a,
apabila hadir ke dalam majlis Rasulullah SAW, mereka mendapatkan jawapan
penyelesaian dari problem yang mereka hadapi samada problem internal,
eksternal, rumah tangga, masyarakat atau persoalan lainnya. Taujih
Rasulullah SAW menjadi jawapannya.
Di samping taujih, kawalan murabbi juga
penting untuk mengukuhkan pembinaan mutarabbi. Mengawal kualiti ruhiyah,
fikriyah, aktiviti kekeluargaan mahupun aktiviti sosial mutarobbi
melibatkan amal umumnya, amal tajmik, amal DF dan Robtul Aamnya.
6.Manhajiyah at tarbawiyah as shahihah wa al murakkazah (Metodologi tarbiyah yang shahih dan berfokus)
Kejayaan hasil tarbiyah ditentukan pula
oleh metodologi yang benar dan tepat. Ketepatan waktu penyampaian, tema
yang disampaikan, cara penyampaian ataupun metode pendekatannya.
Rasulullah SAW sangat memperhatikan masalah ini agar apa yang beliau
sampaikan terkena kepada sasaran.
Rafi’ ibnu Al Mu’alla RA memaparkan
pengalamannya bersama Rasulullah SAW ketika menerima ajaran Rasulullah
SAW. Beliau mengajarkannya pada waktu di mana hati manusia bersiap untuk
mendengarkannya, iaitu sesudah melaksanakan ibadah. Juga di tempat yang
diberkahi Allah SWT iaitu di masjid atau majlis-majlis ilmu. Pendekatan
yang digunakan adalah dengan pendekatan personal yang memikat hati
antara murabbi dan mutarabbi. Rafi’ memberikan komentar ketika beliau
didekati Rasulullah SAW dengan mengatakan “Rasanya sayalah orang yang
paling dekat dengan baginda SAW”. Cara penyampaian beliau membuat para
pendengar terpukau melalui pemaparan yang booming. Lihatlah bagaimana
metode tarbiyah baginda SAW di dalam menyampaikan inti Surah Al
Fatihah. Baginda mengatakan, “Mahukah aku ajarkan kamu satu surah yang
paling agung di dalam Al Qur’an sekembalinya kamu dari masjid?”.
Sewajarnya murabbi pandai memilih dan
menggunakan metode yang tepat dalam menyampaikan bahan tarbiyahnya. Agar
bahan tarbiyah tadi sampai kepada sasaran dan seterusnya tertanam di
hati mutarabbi.
7. In’asy at tarbawiyah (Penyegaran dan pembugaran aktiviti tarbiyah)
Untuk meningkatkan kualiti tarbiyah,
penyegaran aktiviti tarbiyah boleh dilakukan dengan mempelbagaikan cara.
Contohnya, dengan program mabit bersama, rehlah dan jaulah bersama,
riadhah jama’iyah, daurah-daurah, perkhemahan atau kegiatan lainnya.
Penyegaran ini sebagai satu daya usaha mendinamiskan suasana tarbiyah
dari kejemuan dan ketepuan. Melalui kepelbagaian cara dan teknik ia
dapat menjadi energi baru bagi mutarabbi. Seorang Murabbi dalam hal
menyelenggarakan in’asy tarbawiyah ini perlu melihat keperluan mutarabbi
agar kegiatan itu betul sasarannya.
Rasulullah SAW bersabda: “Rehatkanlah hatimu kerana ia tidak terbuat dari besi” (HR. An Nasa’i).
8. Do’a (saling mendo’akan)
Seperti kita ketahui bahawa do’a
mempunyai daya dukung yang bererti dalam amal dakwah. Demikian pula
kejayaan tarbiyah. Murabbi tidak boleh jual mahal untuk mendo’akan
mutarabbinya agar dikuatkan hatinya untuk menerima kefahaman Islam serta
dimudahkannya untuk merealisasikannya. Murabbi juga mesti mentaujihkan
mutarabbinya untuk senantiasa saling mendo’akan supaya diberikan
kekuatan untuk melaksanakan ajaran Islam.
Begitulah beberapa catatan para Qudama’
dakwah sebagai panduan untuk mencapai kejayaan di dalam mengelola
tarbiyah. Untuk mencapainya, tarbiyah sebagai wasilah pembinaan diri
mesti dilakukan secara istimrar [berterusan], bersifat rutin,
bermarhaliyah dan sistemik. Catatan ini hanyalah panduan dan pengalaman
bagaimana menjayakan agenda tarbiyah. Jangan pula ia menjadi faktor
yang menyusahkan seorang da’ie untuk menjadi seorang murabbi. Semuanya
menuntut kepada fleksibiliti namun keberhasilan terletak pada kemahuan,
kemampuan dan kesempatan yang dicurahkan untuk membina kredibiliti dan
autoriti sebagai seorang murobbi. Ayuh mari kita menjadi Murobbi, kalau
tidak kita, siapa lagi, kalau tidak hari ini bila lagi?. “Kita adalah
Murabbi. Why not ?”.
Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
Naib YDP ISMA Seremban
No comments:
Post a Comment