mujahidah solehah

mujahidah solehah
cinta ilahi... cinta sejati

Friday, January 14, 2011

Hijrah: Wasilah pemerkasaan diri dan ummah




Maal Hijrah tidak mungkin akan berbeza dengan sambutan Tahun Baru Masihi jika umat Islam masih enggan mengambil iktibar daripada sejarah-sejarah terdahulu sedangkan sejarah-sejarah inilah yang memberikan kekuatan dan keyakinan kepada manusia untuk berhijrah.
Nabi bersabda:
“Orang-orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala apa yang Allah telah melarang daripadanya” (Riwayat Bukhary dari Abdullah bin Umar r.a)
Sambutan Maal Hijrah bukanlah sekadar perkiraan tahun Islam tetapi menyimpan satu agenda yang lebih besar iaitu pengislahan diri dan perpaduan ummah. Secara umumnya, jika kita melangkah ke tahun baru, masing-masing pastinya akan menanam azam dan tekad yang baru.
“Saya ingin belajar bersungguh-sungguh”
“Saya tak nak membuang masa lagi dengan aktiviti yang tak berfaedah”
“Saya tak nak ponteng kelas”
“Saya nak dapat nombor satu dalam kelas”
Dan banyak lagi.
Namun, azam-azam sebegini jarang kedengaran apabila kita melangkah ke tahun hijrah yang baru seolah-olah penambahan usia dunia Islam ini tidak memberi sebarang signifikan kepada umat Islam. Betapa hebatnya kalendar Masihi yang lebih berjaya mengubah persepsi dan pandangan manusia berbanding dengan kalendar Hijrah.
Umat Islam di Malaysia perlu menyedari bahawa sambutan Maal Hijrah bukanlah satu adat seperti perayaan lain yang menjadi satu rutin tahunan kita tetapi meletakkan kita di satu tahap yang lebih baik dan lebih terdidik daripada sebelumnya.
Hijrah Kita Tidak Seperti Hijrah Nabi.
Majoriti Umat Islam sudah sedia maklum bahawa Maal Hijrah dikaitkan dengan sirah perpindahan Nabi Muhammad dari kota Mekkah ke kota Madinah sebagai satu strategi dakwah dan juga sebagai langkah menyelamatkan Umat Islam pada ketika itu daripada serangan Musyrikin Mekkah. Perpindahan ini berakhir dengan sebuah kejayaan dalam sejarah Islam apabila Baginda berjaya mengumpulkan kekuatan Umat Islam bahkan agama Islam sudah subur berkembang dan mula tersebar luas ke merata wilayah di dunia. Maka, bermulalah perkiraan zaman Islam.
Berbeza dengan waqi’ pada hari ini, kita tidak disarankan untuk berhijrah ke satu kawasan yang lain untuk membina kehidupan baru dan lebih selamat kerana negara kita tidak dijajah dan diperangi. Hijrah masa kini membawa konsep yang lebih menyeluruh dan memberi jaminan yang pasti kepada ummat Islam.
Walaupun negara kita tidak diperangi, namun sedarkah kita bahawa jiwa-jiwa kita sedang hebat diperangi dan dijajah oleh anasir-anasir barat yang nyata menjatuhkan entiti dan jati diri umat Islam dan saya kira ini adalah satu bentuk penjajahan halus ataupun peperangan saraf yang semakin melanda tanpa disedari.
Kenapa Disuruh Berhijrah?
Firman Allah Taala:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Baqarah: 218].
Secara mantiqnya, tidak ada manusia di dunia ini yang tidak inginkan perubahan dan penambahbaikan dalam hidup kerana memang antara fitrah manusia adalah untuk memiliki perkara yang lebih baik. Contoh paling ketara; rumah yang kecil diubahsuai menjadi rumah yang lebih besar dan mewah, kereta yang buruk dimodifikasi dengan pelbagai aksesori tambahan dan menjadi lebih sedap mata memandang, dan begitu juga komputer yang baru dibeli di-install-kan dengan pelbagai software dan mempunyai lebih banyak tujuan daripada biasa.
Manakala konsep Hijrah yang sebenar menurut fitrah manusia adalah beralih kepada satu rentak kehidupan yang memberi jaminan terbaik kepada kemaslahatan diri, keluarga dan masyarakat. Dengan kata yang lebih mudah, Hijrah memberi satu transformasi daripada keadaan yang buruk kepada baik dan daripada keadaan yang baik kepada lebih  baik dalam memenuhi tuntutan agama.
Kesilapan umat pada hari ini bermula apabila gagal memilih kehidupan beragama akibat penyakit terlalu cintakan dunia. Bagi orientalis, keadaan ini  diibaratkan seperti ‘orang yang mengantuk disorongkan bantal’ kerana agenda mereka adalah memang untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Rentetan daripada itu, mereka tidak berhenti-henti mencipta dan mengatur strategi dalam memesongkan akidah dan akhlak umat Islam.
Hijrah Dalam Memperkasa Jati diri
Setiap individu tidak mempunyai pilihan lain untuk berubah melainkan paksaan diri. Setelah meletakkan azam dan tekad yang jelas, paksalah diri kita untuk mengikut setiap perangkaan yang dibuat.
Perkara-perkara asas yang perlu di beri perhatian ialah :
  1. Memahami konsep Hidup Bertuhan.
  2. Memiliki hala tuju hidup yang jelas.
  3. Memperbaiki Ibadah Fardhiyyah
  4. Menggandakan Ibadah Sunnah
  5. Menteladani akhlak Rasulullah
  6. Memelihara Persaudaraan.
Hijrah Dalam Menuntut Ilmu
Setiap penuntut ilmu perlu memperbaharui niat bahawa semua ilmu di dunia ini adalah hak milik Allah dan ianya bersifat pinjaman yang boleh diberi dan boleh ditarik semula oleh Allah. Oleh hal yang demikian, kita perlu faham bahawa ilmu bukan sekadar memenuhi keperluan dan kehendak diri, tetapi untuk kemaslahatan ummah sejagat.
Apabila sudah mempunyai kefahaman yang sahih mengenai tujuan menuntut ilmu, maka kita perlu menghijrahkan diri kita daripada seorang yang malas kepada rajin, daripada seorang yang leka kepada seorang yang peka, dan daripada seorang yang berputus-asa kepada seorang yang berwawasan jauh.
Hijrah Dalam Perpaduan Ummah
Khilaf dalam kalangan ummah lebih membawa kepada perbezaan ideologi tetapi ikhtilaf dalam kalangan ummah adalah satu perkara biasa. Kita dilihat berbeza dari segi metod pembawaan dan pelaksanaan, tetapi pada titik akhirnya kita adalah sama kerana kita membawa Islam yang satu.
Untuk memastikan perpaduan ummah, kita perlu berubah. Saya yakin dan percaya bahawa sikap ego dan pentingkan diri sendiri tidak mampu merungkai masalah perpecahan. Justeru itu, kita perlu mengamalkan konsep terbuka dan berlapang dada di samping memandang positif dan tidak saling menuding jari.
Jika umat Islam masih lagi berkeras untuk tidak berubah, maka lenyaplah konsep persaudaraan Islam. Marilah kita berhijrah untuk saling menerima antara satu sama lain demi mencapai perpaduan ummah.
Istiqamah Setelah Hijrah
Janganlah menjadi seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’ yang hanya mampu bertahan sekejap setelah memilih jalan hijrah. Fasa menghijrahkan diri memakan masa yang lama dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku sepanjang tempoh tersebut.
Oleh itu, marilah kita bermujahadah melawan nafsu dan beristiqamah dengan setiap perubahan yang kita lakukan. Selain daripada keazaman dan kesungguhan yang tinggi, sentiasalah meminta perlindungan daripada Allah supaya sentiasa terpelihara daripada perkara-perkara yang dimungkariNya dan akhir sekali untuk mencapai keredhaanNya di dunia dan akhirat.
Oleh: Firdaus Mazani
LAMAN WEB ISMA MESIR

No comments:

Post a Comment